Home Koronavirus Kabinet, ADUN Sarawak sumbang dua bulan gaji ke Tabung Bencana

Kabinet, ADUN Sarawak sumbang dua bulan gaji ke Tabung Bencana

0
Kabinet, ADUN Sarawak sumbang dua bulan gaji ke Tabung Bencana

KUCHING – [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyumbangkan sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Sarawak untuk tempoh dua bulan bermula bulan ini.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, inisiatif tersebut diambil bagi menunjukkan komitmen berterusan kerajaan GPS dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sumbangan yang akan dibuat melalui potongan gaji selama dua bulan, bermula bulan ini dijangka bakal mengumpulkan RM3 juta.

“Kadar potongan akan dilakukan mengikut jawatan iaitu ketua menteri akan menyumbangkan 30 peratus; timbalan ketua menteri 25 peratus; menteri dan speaker 20 peratus; menteri muda 15 peratus dan ADUN 10 peratus.

“Kerajaan GPS juga akan mempertimbangkan untuk meneruskan dan menyambung sumbangan tersebut sekiranya pandemik itu berterusan pada masa akan datang,” menurutnya.

Setiusaha politik kerajaan GPS juga akan menyumbang sebanyak lima peratus daripada gaji mereka dalam tempoh sama bermula bulan ini.

Sementara itu, kerajaan GPS juga memutuskan bahawa penjawat awam Sarawak akan turut menyumbang sejumlah Imbuhan Tetap Keraian (ITK) mereka selama dua bulan bermula Julai.

“Gred Utama A dan Gred Khas A dan setara ke atas akan menyumbang 50 peratus daripada ITK yang diterima; Gred Utama B dan Gred Khas B dan setara sebanyak 20 peratus manakala Gred Utama C dan Gred Khas C dan setara sebanyak 10 peratus.

“Gred 43 hingga 56 dan setara sebanyak 5 peratus manakala Gred 29 hingga 42 dan setara RM10 daripada ITK yang diterima,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu kadar sumbangan yang melibatkan hampir 7,000 penjawat awam negeri itu dijangka bakal mengumpulkan RM300,000.

“Para anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam membendung dan mengawal wabak Covid-19 adalah dikecualikan.

“Kerajaan GPS juga akan meminta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri untuk sama-sama turut serta dalam pemberian sumbangan ini,” menurut kenyataan itu. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Semua Exco Pulau Pinang sumbang sebulan gaji ke Tabung Covid-19

Pas Pusat lancar Tabung Bencana Covid-19

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here