Home Koronavirus Jumlah pendaftaran vaksin di Pahang meningkat hampir 100,000 seminggu

Jumlah pendaftaran vaksin di Pahang meningkat hampir 100,000 seminggu

0
Jumlah pendaftaran vaksin di Pahang meningkat hampir 100,000 seminggu

KUANTAN – Jumlah pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pahang menyaksikan peningkatan hampir 100,000 individu dalam tempoh seminggu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, peningkatan itu susulan inisiatif oleh pemimpin masyarakat setempat dan sukarelawan yang bekerjasama serta turun padang melaksanakan kempen program imunisasi termasuk membantu penduduk melakukan pendaftaran secara manual.

“Banyak kawasan pedalaman tiada liputan telefon yang menyebabkan masyarakat tidak berdaftar melalui MySejahtera.

“Inisiatif yang diambil oleh pejabat daerah, sukarelawan, pemimpin masyarakat termasuk wakil rakyat dilihat membantu kepada peningkatan jumlah pendaftaran di Pahang sepanjang minggu ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sallehuddin berkata, pertambahan jumlah pendaftaran itu juga sekali gus dapat membantu Pahang untuk menerima bilangan vaksin lebih banyak berbanding sebelum ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri menggalakkan pelanggan yang mahu berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan di negeri ini untuk mendaftar program imunisasi menerusi MySejahtera atau Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP).

Pahang menyasarkan sebanyak 1.2 juta individu yang berdaftar untuk menerima vaksin dan sehingga 4 Jun, sebanyak 530,770 individu telah mendaftar berbanding 434,184 pada 27 Mei lalu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here