Home Koronavirus Johor usaha beli vaksin dari Singapura

Johor usaha beli vaksin dari Singapura

0
Johor usaha beli vaksin dari Singapura

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri termasuk membeli dari Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, bagi memastikan usaha terbabit berjalan lancar, kerajaan negeri bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Johor lebih awal berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi memperoleh bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos yang dikhususkan kepada ‘Economic Frontliners’ di negeri ini.

“Sehingga Khamis, sebanyak 85,849 permohonan telah diterima dan daripada jumlah itu 72,180 memenuhi kriteria untuk dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan perbincangan secara maya bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen di Kota Iskandar.

Perbincangan itu diadakan susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada minggu lalu yang mahu semua ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini, memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri sedang merancang untuk pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0 selain peruntukan RM10 juta bagi pemberian bakul makanan.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 akan diberikan kepada semua wakil rakyat yang membantu dalam program advokasi dan menyampaikan informasi tepat serta sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 termasuk pendaftaran vaksin.

“Kerajaan Johor sentiasa mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya.

Berhubung perbincangan yang diadakan itu Hasni berkata, pandangan yang dikemukakan oleh semua ahli Parlimen dan ADUN yang hadir diambil maklum serta diteliti untuk dilaksanakan.

“Komitmen yang ditampilkan oleh semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membuktikan penzahiran politik ‘cara Johor’ yang amat mementingkan muafakat.

“Perbincangan ini juga mencapai satu bentuk konsensus dan persepakatan bagi kebaikan rakyat Johor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here