Tian Soon (tujuh dari kanan) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Akuagro Rukun Tetangga (RT) Johor di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mahu lebih ramai rakyat di negeri ini tampil mendapatkan suntikan kedua dos penggalak vaksin Covid-19.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, ketika ini hanya 1.9 peratus daripada keseluruhan 3.5 juta rakyat di Johor telah mengambil suntikan dos berkenaan.
Malah katanya, perkara itu mungkin disebabkan keadaan semasa terutamanya melibatkan keadaan Covid-19 yang masih terkawal ketika ini.
“Setakat ini kita baharu capai 1.9 peratus sahaja dan kalau boleh kita mahu cuba sedaya upaya untuk meningkatkan jumlah rakyat yang terima ‘booster’ kedua ini.
“Mungkin juga disebabkan keadaan Covid-19 ketika ini yang masih terkawal…apa pun, kita tidak meletakkan sebarang sasaran (suntikan kedua dos penggalak), namun, kita harap rakyat Johor khususnya mereka yang mempunyai sakit kronik atau golongan berisiko tinggi untuk mendapatkannya,
“Orang ramai boleh segera mendapatkan suntikan kedua dos penggalak ini di hospital kerajaan ataupun klinik kesihatan terdekat,” katanya setelah menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Akuagro Rukun Tetangga (RT) Johor di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Noridah Abdul Rahim; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman.
Pada program berkenaan, Tian Soon turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM230,000 untuk pelaksanaan projek peluasan 20 tapak Akuagro RT bagi tahun 2023.
Tian Soon berkata, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 100 tapak agro bakal diwujudkan di negeri ini.
Katanya, sasaran berkenaan diyakini dicapai berdasarkan kepada 34 tapak agro sedia ada ketika ini dan bakal ditambah 20 tapak menjadikannya 54 tapak kesemuanya bagi tahun ini.
“Kita juga merancang untuk buka 20 tapak agro ini setiap tahun…tetapi kita perlu pilih pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT), yang benar-benar aktif,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!