TANJONG KARANG – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merancang menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di beberapa lokaliti di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Julai depan.
Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya mahu menilai sama ada PPV di kawasan PKPD boleh dilaksanakan atau tidak terutama dalam keadaan negeri itu bakal menerima sebanyak 135,000 dos suntikan sehari.
“Beri suntikan kepada penduduk di kawasan PKPD supaya kadar pemberian vaksin dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengiringi Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang melawat PPV Tanjong Karang di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga meningkatkan kapasiti penduduk yang akan menerima vaksin di semua PPV seluruh Selangor.
“Contohnya di PPV Tanjong Karang kapasiti mereka yang disuntik pada bulan ini sekitar 800 hingga 1,000 individu, mungkin boleh ditingkatkan kepada 2,000 individu pada Julai depan.
“Begitu juga dengan PPV lain akan dipertingkatkan 2.5 kali ganda daripada yang ada pada masa sekarang,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Selangor akan meningkatkan pemberian sebanyak 130,000 dos suntikan vaksin Covid-19 sehari pada Julai depan berbanding hanya 40,000 dos suntikan sehari sebelum ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu dipersetujui antara beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurutnya, peningkatan pemberian vaksin di Selangor pada Julai disebabkan keputusan kerajaan Persekutuan membuka PPV berskala besar.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor tingkat pemberian 130,000 dos sehari mulai Julai