Home Koronavirus JKN buka kertas siasatan isu pelajar rayu kurang kompaun

JKN buka kertas siasatan isu pelajar rayu kurang kompaun

0
JKN buka kertas siasatan isu pelajar rayu kurang kompaun

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah membuka kertas siasatan berhubung rayuan pengurangan kompaun RM1,500 yang dikenakan kepada enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, dalam pertemuan dengan pihak pengurusan kolej pada Selasa, pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada selepas kesemua enam pelajar terlibat hadir mengemukakan rayuan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan semua pelajar tersebut daripada golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun dikenakan.

“Sehubungan itu, kertas siasatan terhadap isu tersebut akan dibuka dan siasatan lanjut akan diadakan untuk dibawa ke pertimbangan pihak pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Satu teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan SOP di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 3.45 petang itu, anggota KKM bertugas telah mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelajar kolej itu iaitu tidak memakai pelitup muka, tidak memakai pelitup muka dengan lengkap dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Kompaun bukan aniaya pelajar, masih boleh buat rayuan: Exco Perak

Jabatan Kesihatan Perak siasat aduan pelajar dikompaun RM1,500

Menurutnya, kompaun yang dikeluarkan pada masa tersebut ke atas enam pelajar itu adalah di bawah Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Tindakan mengenakan kompaun adalah akibat pelanggaran SOP di bawah peraturan terbabit.

“Kejadian ini sebenarnya telah dimaklumkan oleh anggota bertugas kepada pihak pengurusan kolej pada hari yang sama setelah kompaun dikeluarkan,” katanya.

Pada Mac lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, individu yang dikenakan kompaun boleh membuat rayuan kepada pengarah dan timbalan pengarah kesihatan negeri untuk mendapatkan pengurangan berdasarkan jenis kesalahan dilakukan.

Dalam proses rayuan kompaun itu, kertas siasatan akan dibuka kepada empat kategori iaitu orang kurang upaya, kumpulan B40, pelajar serta mereka yang merasakan tidak mampu untuk membayar kompaun bagi menilai apakah jenis kesalahan yang dilakukan dan jumlah kompaun yang akan dikenakan semula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here