Home Koronavirus Jangkitan Covid-19 global menurun

Jangkitan Covid-19 global menurun

0
Jangkitan Covid-19 global menurun

LONDON – Jangkitan harian Covid-19 telah menurun di seluruh dunia selama sebulan dan pada Selasa ia mencapai tahap terendah sejak pertengahan Oktober tahun lalu.

Namun, pakar memberi amaran terhadap sikap acuh tak acuh segelintir pihak terhadap ancaman pandemik itu walaupun vaksinasi sedang giat dijalankan.

Data Reuters menunjukkan penurunan jumlah jangkitan dan kematian disebabkan langkah drastik kebanyakan negara yang melaksanakan lockdown dan sekatan bagi membendung penularan wabak tersebut yang kini menjangkiti 110.4 juta orang di seluruh dunia.

Bagaimanapun, kebimbangan semakin meningkat susulan penemuan varian baharu yang dikhuatiri memberi kesan terhadap tahap keberkesanan vaksin sedia ada.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan diri kita berada dalam situasi yang menyaksikan kes terus meningkat,” kata Ketua Teknikal Covid-19 di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Van Kerkhove ketika sesi taklimat di Geneva.

Pada Selasa, sebanyak 351,335 kes jangkitan baharu global direkodkan secara purata dan angka itu menurun daripada jumlah 863,737 yang dicatatkan pada 7 Januari lalu.

Angka kematian pula menurun kepada 10,957 pada Selasa berbanding 17,649 yang dilaporkan pada 26 Januari lalu.

Jumlah kes jangkitan di Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan penurunan dengan 77,883 kes baharu direkodkan secara purata pada setiap hari.

Setakat ini, sebanyak 85 negara memulakan program vaksinasi dan kira-kira 188 juta dos suntikan telah diberikan. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here