MUAR – Bapa kepada seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) epilepsi (gangguan saraf otak) menyeru ibu bapa yang senasib dengannya agar tidak menidakkan peluang anak istimewa mereka untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19, sama seperti individu normal lain.
Ahmad Asram, 55 berkata, suntikan vaksin penting untuk meningkatkan lagi ketahanan perlindungan diri anak-anak berkenaan terhadap wabak berbahaya itu.
“Nasihat saya jangan tutup minda anda dan menidakkan peluang anak kita yang istimewa ini, dapatkanlah suntikan vaksin untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menemani anaknya, Nuraqilah, 24, mendapatkan suntikan itu di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Pagoh, di sini pada Selasa.
Pemandu teksi itu mengakui berasa lega setelah melihat anaknya menerima suntikan vaksin biarpun dirinya sendiri belum mendapat suntikan.
“Terima kasih kepada kerajaan menyediakan perkhidmatan ini dan guru sekolah Nuraqilah yang membantu menguruskan proses pendaftaran anak saya dan rakan-rakannya yang lain,” katanya.
Sementara itu Ahmad dilihat cukup teruja apabila berpeluang berbual secara santai bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sempat meluangkan masa melawat pusat itu dan bertanyakan khabar mereka.
Seorang warga emas yang ditemui di PPV itu, Rohana Othman, 60 pula menyifatkan proses mengambil darah lebih ‘menyakitkan’ berbanding suntikan vaksin yang diterimanya.
“Senang sahaja proses suntikannya, tidak sakit pun.
Malahan sebelum disuntik semua orang membantu tenangkan makcik,” katanya yang memuji layanan diberi petugas kesihatan di fasiliti berkenaan.
Ahmad Dollah Sipon, 74, pula menyifatkan kewujudan PPV itu banyak memudahkan urusan masyarakat sekitar terutama warga emas dan OKU untuk mendapatkan suntikan vaksin.
PPV Dewan Serbaguna Pagoh yang beroperasi sejak 6 Jun lalu merupakan PPV kedua (bukan kesihatan) di daerah Muar selepas Dewan Maharani, dan berupaya memberikan suntikan kepada sehingga 700 penerima sehari.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk meninjau operasi pemberian vaksin dan kemudahan yang disediakan di PPV berkenaan.
Mengiringi beliau ialah isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pegawai Kesihatan Muar, Dr Noorhaida Ujang. – Bernama