Home Koronavirus Isu vaksin AstraZaneca, kerajaan sedia pelan sokongan

Isu vaksin AstraZaneca, kerajaan sedia pelan sokongan

0
Isu vaksin AstraZaneca, kerajaan sedia pelan sokongan

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan mempunyai pelan sokongan sekiranya mesyuarat khas jaminan akses vaksin Covid-19 mendapati vaksin AstraZeneca tidak sesuai digunakan di negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan meneliti laporan daripada kumpulan pakar yang akan dibentangkan pada mesyuarat khas jaminan akses vaksin Covid-19 pada Selasa ini.

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum tentang berita terbaharu mengenai kesan sampingan vaksin tersebut kepada pengguna di United Kingdom.

“Kerajaan ambil maklum bahawa terdapat beberapa kes dilaporkan dalam berita dan kes dikenalpasti daripada badan kawal selia perubatan United Kingdom berkenaan pembekuan darah.

“Buat masa kini, kerajaan sedang melihat data berkenaan dan apa sahaja keputusan berkenaan penggunaan vaksin AstraZeneca akan dimaklumkan kemudian. Kerajaan mempunyai pelan sokongan dalam hal ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Sebelum itu berlangsung mesyuarat tertutup bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad berkenaan tahap kesiapsiagaan Johor bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia turut ditawarkan membeli dos vaksin tambahan daripada pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech.

“Pengeluar vaksin Pfizer memberi tawaran untuk Malaysia membeli 12.8 juta dos vaksin sebagai tambahan kepada kepada tempahan vaksin sebanyak 30 juta yang dibuat sebelum ini.

“Pembelian vaksin tambahan daripada Pfizer ini juga merupakan pelan sokongan sekiranya didapati vaksin lain tidak dapat digunakan,” katanya.

Dalam pada itu Khairy berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana vaksin AstraZaneca yang ditempah itu masih belum tiba di negara ini.

“Sebanyak 6.4 juta dos vaksin AstraZaneca untuk 3.2 juta rakyat di negara ini yang ditempah dijangka tiba pada Mei ini.

“Selain itu, Malaysia juga akan menerima 1.4 juta dos vaksin menerusi program pengedaran vaksin antarabangsa, Covax yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Kerajaan juga sedang berunding dengan Novovax dan beberapa pengeluar vaksin lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here