BAITULMAQDIS – Israel meluluskan dos vaksin Covid-19 keempat untuk penduduk yang berumur lebih 60 tahun dan petugas perubatan, kata Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pada Ahad.
Dalam sidang media maya, Bennett berkata, dos keempat vaksin yang dibangunkan oleh Pfizer itu, diluluskan oleh Kementerian Kesihatan negara berkenaan untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan kakitangan perubatan yang menerima dos ketiga sekurang-kurangnya empat bulan lalu, lapor Xinhua.
Beliau berkata, suntikan penggalak tambahan itu akan memberikan Israel ‘lapisan pertahanan baharu’.
Bennett menggesa warga emas untuk mendapatkan suntikan penggalak, sambil mengingatkan mereka bahawa Israel berada di ambang satu lagi lonjakan morbiditi akibat penyebaran varian Omicron.
“Negara mungkin menyaksikan sebanyak 50,000 kes koronavirus baharu,” kata Bennett.
Israel pada Khamis meluluskan suntikan vaksin keempat untuk penduduk yang mempunyai masalah imun dan warga tua yang tinggal di rumah jagaan, menjadi antara negara terawal yang menawarkan dos penggalak itu.
Kira-kira 70 peratus daripada 9.45 juta penduduk Israel sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kira-kira 45 peratus menerima ketiga-tiga dos itu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada Ahad. – Bernama