Home Koronavirus Ibu bapa luar bandar diyakinkan anak ambil vaksin Covid-19

Ibu bapa luar bandar diyakinkan anak ambil vaksin Covid-19

0
Ibu bapa luar bandar diyakinkan anak ambil vaksin Covid-19

KUALA PILAH – Peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan ketika ini banyak memberi kesedaran kepada warga emas di luar bandar untuk menerima suntikan vaksin walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Mahani Zakaria, 64, berkata anak-anak yang meyakinkan dirinya untuk menerima suntikan vaksin serta membuat pendaftaran MySejahtera kerana dia tidak mahir dalam penggunaan aplikasi itu.

Berasal dari Juaaseh, Mahani berkata, dia menerima dos pertama vaksin di PPV Klinik Kesihatan Johol, semalam selepas menempuh perjalanan selama 30 minit dengan ditemani menantunya.

“Mak cik dibantu anak-anak dan menantu untuk suntikan vaksin, kalau tiada mereka susah juga kerana perjalanan dari rumah ke PPV di Johol dalam 31 kilometer. Setakat ini mak cik tidak mengalami sebarang kesan sampingan lain. Petugas kesihatan juga melayan dengan baik, ” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, dia juga sedar kepentingan vaksin itu menerusi laporan media dan tidak terpengaruh dengan dakwaan negatif mengenai vaksin kerana sentiasa merujuk kepada anak untuk penjelasan.

Berkongsi pandangan sama, Mohd Azalli Abd Malek, 70, berkata dia dan isteri telah lengkap dua dos suntikan vaksin hasil pertolongan anak yang membuat pendaftaran dalam MySejahtera.

Mohd Azalli dari Kampung Ibol, Terachi berkata, dia dan isteri akan merujuk kepada anak setiap kali terbaca maklumat vaksin yang tersebar melalui media sosial atau telefon.

”Bagi saya maklumat palsu mengenai vaksin disebarkan oleh golongan tidak profesional dan bukan pakar kesihatan yang sahih untuk dipercayai,” katanya yang menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Dato’ Bahaman Shamsuddin, Kuala Pilah, semalam.

Maria Hakim, 50, iaitu orang asli dari Kampung Panchor, Jempol, pula berkata kesedarannya tentang kepentingan suntikan vaksin timbul hasil maklumat yang diterimanya menerusi berita serta iklan di televisyen.

Surirumah itu berkata, dia mendaftar menerusi bantuan petugas kesihatan dan telah menerima suntikan dos pertama di PPV Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol.

Maria turut mencadangkan agar petugas kesihatan berkunjung ke perkampungan orang asli bagi membantu golongan itu mendaftar serta memberikan suntikan memandangkan perjalanan ke PPV terdekat mengambil masa 40 minit. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here