SHAH ALAM – Hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan, kata Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Menurut Anhar, ketetapan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2021 yang bersidang pada 9 Februari lalu dan turut diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Beliau berkata, berdasarkan fatwa berkenaan, beberapa perkara perlu difahami oleh masyarakat di mana hukum harus kepada orang awam adalah merujuk kepada pilihan sendiri sama ada ingin mengambilnya atau tidak.
“Hukum wajib pula merujuk kepada kemestian tanpa sebarang pilihan yang memberi implikasi berdosa jika tidak mengambilnya ke atas golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Dan kerajaan adalah bermaksud kerajaan Malaysia, kerajaan negeri atau ketua agama negeri termasuk pihak berkuasa yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anhar berkata, berdasarkan penjelasan fatwa berkenaan, sesiapa yang telah ditetapkan oleh Uli al-Amri (pemerintah) bagi mengambil vaksin Covid-19 adalah wajib untuk mendapatkannya.
“Ini termasuk semua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dan Penolong Pendaftar Nikah di negeri ini dan seumpamanya,” katanya.
Pada September lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah di Selangor hadir pada program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 orang yang hadir menolak untuk divaksin.
Berikutan itu, baginda juga akan meneliti nama-nama guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah terlibat yang memutuskan untuk tidak divaksin dalam program berkenaan.