SHAH ALAM – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan di hospital berkenaan tidak mencukupi.
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, hasil semakan dan siasatan, tiada pesakit duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.
Malah katanya, pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi dengan penyaman udara.
“Sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tegas beliau, dakwaan bahawa pesakit terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod adalah tidak benar.
Mengulas lanjut, Dr Zulkarnain berkata, pihaknya sedang menunggu pembukaan Hospital Lapangan di HTAR yang dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang ramai di hospital itu.
“Pihak hospital sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang awam untuk penambahbaikan bagi memastikan akses kesihatan dan rawatan saksama kepada semua pesakit yang menerima rawatan di hospital ini,” katanya.
Pada Selasa, sebuah portal berita melaporkan bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di HTAR, Klang.
Laporan itu turut dikongsi seorang bekas pemimpin negara menerusi laman Facebook beliau pada hari sama.