KOTA BHARU – Dua buah wad khas disediakan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk difokuskan kepada 40 ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, di antara usia kandungan ibu hamil tersebut adalah melebihi 27 minggu dan mereka berdepan Covid-19 daripada kategori dua hingga tiga.
“Wanita mengandung yang positif Covid-19 perlu dianggap berisiko sebab ada dua pihak terlibat iaitu ibu dan anak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Jubli Perak, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, PKRC juga dicadangkan untuk menyediakan kemudahan rawatan berkenaan kepada ibu hamil memandangkan jumlah jangkitan melibatkan kumpulan itu menunjukkan angka yang tinggi.
Namun katanya, PKRC yang menempatkan ibu hamil perlu berada berdekatan dengan hospital bagi memastikan mereka tidak berdepan kekangan untuk keluar mendapatkan rawatan di hospital bila perlu.
“Buat masa sekarang ini kami pantau sebaik mungkin di HRPZ II mengikut keperluan semasa mereka. Kalau sudah cukup tempoh bersalin, kita akan lakukan tindakan selanjutnya bagi memastikan ibu dan bayi selamat,” katanya.