Home Koronavirus Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani tidak dikenakan PKPD

Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani tidak dikenakan PKPD

0
Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani tidak dikenakan PKPD

ALOR SETAR – Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti tular di media sosial, sebaliknya beberapa bahagian premis sahaja ditutup sementara waktu.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, seramai 30 kakitangan HSAH didapati positif Covid-19 dipercayai berpunca daripada penularan varian Delta dan Beta.

Menurutnya, kakitangan hospital yang positif terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.

“Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian, hanya wad tertentu ditutup untuk proses sanitasi. Bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

“Oleh itu, mesej yang tular mendakwa HSAH ditutup adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Dr Mohd Hayati berkata demikian bagi mengulas mesej yang tular mendakwa HSAH ditutup selepas 100 kakitangannya dijangkiti Covid-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta dari Afrika Selatan.

Mesej terbabit turut mendakwa terdapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar hospital hanya mengambil dan merawat kes yang benar-benar kecemasan berikutan penularan virus berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak resah dengan kejadian ini kerana ia sedang dikendalikan JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Mereka yang perlu melakukan rawatan susulan di klinik pakar, tarikh temu janji dan jadual akan disusun semula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here