Home Koronavirus Hospital Selayang ditukar jadi hospital Covid-19

Hospital Selayang ditukar jadi hospital Covid-19

Hospital Selayang ditukar jadi hospital Covid-19

SHAH ALAM – Hospital Selayang akan ditukar sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 bagi kawasan Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, perkara itu merupakan beberapa strategi yang dikenal pasti sebagai tindakan perlu diambil dengan segera.

“Pesakit bukan Covid-19 di Hospital Selayang akan dipindahkan ke hospital swasta di wilayah tersebut untuk meningkatkan kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 yang berada pada kategori tiga, empat dan lima.

“’Operasi Selayang’ dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Strategi kedua katanya, perhatian penuh akan diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu.

“Ujian Covid-19 akan lebih mengutamakan individu bergejala. Bagaimanapun, semua kes bergejala Covid-19 ini masih perlu dinilai samada secara dalam talian atau secara fizikal di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.

“Bagi kes positif tidak bergejala akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dala talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah,” katanya.

Menurutnya, kontak rapat kepada kes positif tidak bergejala adalah digalakkan untuk melakukan ujian pantas Covid-19 samada di klinik berhampiran atau menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.

Katanya, langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dilakukan di wilayah ini dan untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri.

“Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) ditubuhkan untuk menangani isu berkaitan peningkatan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan dengan kadar segera.

Katanya, pasukan petugas akan memberi tumpuan penuh kepada perkara seperti penjagaan klinikal, CAC dan pemantauan kendiri di rumah, epidemiologi, logistik perubatan dan umum, sistem sokongan sosial bagi petugas hadapan, sumber manusia dan kewangan serta komunikasi strategik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here