Home Koronavirus Hospital Melaka perlu kontena sejuk beku simpan mayat

Hospital Melaka perlu kontena sejuk beku simpan mayat

0
Hospital Melaka perlu kontena sejuk beku simpan mayat

MELAKA – Kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menempatkan sebuah kontena sejuk beku penyimpanan mayat pesakit Covid-19 berikutan peningkatan kes kematian di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, walaupun situasi sekarang belum mencapai tahap kritikal namun kapasiti penggunaan bilik simpanan mayat di jabatan forensik hospital berkenaan berada pada tahap maksimum.

Menurutnya, pusat penyimpanan mayat sedia ada hanya dapat menempatkan 26 mayat sahaja malah pernah berlaku sebanyak 22 peti sejuk beku itu telah digunakan dalam tempoh sehari.

“Kontena yang dimohon sejak dua minggu lalu akan diletakkan di jabatan forensik tersebut dan mampu menempatkan sebanyak 20 kes dalam satu masa.

“Kita juga bakal menerima sebuah lagi kontena selepas terdapat individu yang mahu memberi,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Nibong, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, hospital medan akan dibangunkan dalam tempoh 10 hari berhampiran Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Melaka.

Menurutnya, hospital medan itu menyediakan 64 katil dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 124 katil bagi menampung pesakit di wad kecemasan termasuk 60 katil yang terdapat di jabatan itu.

“Hospital medan akan merawat kes Covid-19 yang dirujuk dan pesakit akan diberikan rawatan awal tanpa perlu menunggu untuk dimasukkan ke wad Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here