Home Koronavirus Hospital Medan HSA sedia 64 katil pesakit Covid-19

Hospital Medan HSA sedia 64 katil pesakit Covid-19

0
Hospital Medan HSA sedia 64 katil pesakit Covid-19

JOHOR BAHRU – [DIKEMASKINI] Sebanyak 64 katil disediakan bagi merawat pesakit Covid-19 di Hospital Medan yang sedang dibina Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pecahan katil yang disediakan merangkumi 60 katil bagi merawat pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat manakala empat lagi katil diperuntukkan untuk unit rawatan rapi ( ICU).

Menurutnya, Hospital Medan ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya Khamis ini dengan sesi latihan dilakukan pada Selasa.

“Memandangkan kes Covid-19 masih lagi tinggi di Johor ada kemungkinan berlaku kekurangan katil terutama di ICU. Oleh itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang dengan ATM untuk membina Hospital Medan.

“Rancangan penglibatan staf ATM bagi membantu KKM di dalam mengoperasikan Hospital Medan ini melibatkan seorang komander Hospital Medan iaitu Mejar (Dr) Khir Reza dengan dibantu tiga pegawai dan 30 anggota lain-lain pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pembinaan Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas ATM, Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen berkata, pemasangan khemah dan penyusunan aset di Hospital Medan di HSA Johor Bahru berjaya dilakukan dalam tempoh empat hari.

“Hospital medan di Johor Bahru ini merupakan satu kompleks yang menggunakan khemah-khemah medan yang akan menempatkan 60 pesakit kategori tiga dan empat selain empat katil pesakit ICU pada permulaaannya.

“Keupayaan Hospital Medan ini boleh ditingkatkan hingga 100 katil bagi pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat. Begitu juga katil ICU boleh ditinggatkan kepada enam dan sehingga 12 katil jika diperlukan,” katanya.

Dr Mohd Arshil berkata, gerak kerja ATM alam membantu KKM menyelaras fasiliti kesihatan bermula sejak pandemik Covid -19 tahun lalu melibatkan di lima tempat bermula di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang membabitkan penyediaan aset dan logistik.

“Selepas itu ATM membina Hospital Medan di Tawau, Sabah diikuti Hospital Medan Penjara Pokok Sena, Kedah yang dikhususkan untuk banduan.

“Selain itu, ATM juga membangunkan Hospital Medan di Kapit, Sarawak, khusus untuk pesakit bukan Covid-19 dan Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang, khusus untuk ICU pesakit Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here