KUALA LUMPUR – Harga siling kit ujian kendiri Covid-19 perlu diturunkan lagi berikutan alat peranti itu boleh dikategorikan sebagai barangan keperluan pada masa ini, kata Senator Datuk Jefridin Atan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan subsidi memandangkan kit ujian kendiri Covid-19 kini menjadi sebahagian daripada keperluan penting kepada setiap isi rumah terutamanya mereka yang sering mempunyai urusan di luar seperti keluar bekerja atau urusan persendirian.
“Harga asal kit ujian kendiri Covid-19 ketika diperkenalkan adalah RM39.90. Kerajaan kemudiannya menetapkan harga siling kepada RM19.90 dan ramai peniaga yang tidak berpuas hati. Harga kit ini perlu diturunkan lagi sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara pada Rabu.
Jefridin turut meminta kerajaan untuk memantau kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan peranti itu dengan tidak melaporkan keputusan ujian kendiri Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera atau kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Isu ketidaktelusan dalam setiap ujian, sebagai contoh keputusan ujian positif namun mereka tidak memaklumkan keputusan tersebut kepada KKM, MySejahtera dan melakukan aktiviti harian seperti biasa tanpa kuarantin kendiri.
“Inilah antara perkara yang kerajaan perlu melihat agar kit ujian kendiri Covid-19 ini tidak disalahgunakan,” katanya. – Bernama