Home Koronavirus Hanya tinggal dua PKRC di Kelantan

Hanya tinggal dua PKRC di Kelantan

0
Hanya tinggal dua PKRC di Kelantan

KOTA BHARU – Hanya dua buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) diaktifkan di Kelantan menjadi petunjuk terbaik sebelum beralih ke fasa endemik bermula 1 April nanti.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairee Mohd Zubir berkata, dua buah PKRC yang akan dikekalkan ialah Gelanggang Seni dan Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Secara rasminya hari ini, PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) tutup.

“Selepas ini PKRC di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pula ditutup,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan ‘Oxygen Concentrator’ di Hospital USM Kubang Kerian di sini, pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

Menurut Dr Mohd Zurairee, sehingga kini kurang 50 orang pesakit sedang menerima dan mendapat rawatan di PKRC.

Dr Mohd Zurairee berkata, bagaimanapun orang ramai tetap diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan mengelakkan berkunjung ke tempat sesak orang ramai.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, kakitangan yang telah menabur bakti di PKRC Kampus Kesihatan telah menghasilkan sebuah replika menggunakan lego dan dihadiahkan kepada pihak USM.

“Replika tersebut merupakan tanda terima kasih daripada semua barisan hadapan kepada pihak USM di atas kerjasama diberikan selama ini dalam usaha memerangi Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here