Home Koronavirus Hanya pekerja lengkap suntikan dos vaksin dibenar memasuki sekolah

Hanya pekerja lengkap suntikan dos vaksin dibenar memasuki sekolah

Hanya pekerja lengkap suntikan dos vaksin dibenar memasuki sekolah

PUTRAJAYA – Hanya pekerja perkhidmatan sokongan yang lengkap suntikan dos vaksin dibenar memasuki dan memulakan tugas di sekolah apabila sesi persekolahan dibuka 3 Oktober depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi pekeliling yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Dasar), Noor Azman Abdul Rahman memaklumkan perkara itu selaras dengan hasrat kementerian untuk mencapai imuniti kelompok terhadap semua petugas tetap atau kontrak.

“Kebenaran ini terpakai kepada penerima lengkap melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac,” katanya.

Noor Azman turut memaklumkan, penerima dos vaksin Johnson & Johnson dan Cansino pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Menurutnya pekerja perkhidmatan sokongan itu merangkumi kawalan keselamatan, kebersihan bangunan dan kawasan serta bekalan makanan bahan mentah di bawah KPM.

Justeru beliau berkata, semua kontraktor terbabit perlu memastikan pekerja sudah menerima vaksin sebelum dibenarkan memasuki premis atau kawasan sekolah.

“Kebenaran diperoleh setiap pekerja bagaimanapun masih tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here