Home Koronavirus Hanya 85,788 individu terima dos pengalak di Pahang

Hanya 85,788 individu terima dos pengalak di Pahang

0
Hanya 85,788 individu terima dos pengalak di Pahang

KUANTAN – Hanya 85,788 individu daripada 1,023,966 penerima vaksin lengkap yang layak telah menerima Program Vaksin Dos Pengalak (VDP) sehingga 5 Disember lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, angka itu masih rendah berbanding kelayakan semasa membabitkan 208,831 orang.

Menurutnya, jawatankuasa petugas khas bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang giat mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk meningkatkan prestasi suntikan VDP di Pahang.

“Program ini diadakan di pelbagai tempat termasuk masjid, pasar raya, balai raya dan tempat-tempat lain yang bersesuaian, namun kita dapati rakyat Pahang masih kurang untuk mendapatkan VDP ini.

“Menerusi data terkini turut menunjukkan 40 peratus rakyat Pahang tidak hadir mendapatkan VDP walaupun telah diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera. Mereka mungkin takut atau tidak faham kepentingan VDP ini,” katanya melalui kenyataan di Facebook pada Selasa.

Dr Nor Azimi berkata, JKN Pahang meminta orang ramai yang layak menerima VDP segera berbuat demikian.

“Seperti yang semua sedia maklum, tempoh enam bulan selepas dos kedua, tahap antibodi seseorang akan menurun. Justeru VDP sangat diperlukan untuk mengekalkan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19.

“Walaupun vaksin tidak mampu mencegah seseorang itu daripada dijangkitan Covid- 19 namun ia dibuktikan mampu mengurangkan keterukan dan komplikasi termasuk kematian,” jelasnya.

Tambah beliau, sememangnya suntikan vaksin satu pilihan tetapi ia baik untuk perlindungan diri dan orang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here