Home Koronavirus Hanya 10 peratus kanak-kanak daftar PICKids di Sabah

Hanya 10 peratus kanak-kanak daftar PICKids di Sabah

0
Hanya 10 peratus kanak-kanak daftar PICKids di Sabah

KOTA KINABALU – Hanya 32,186 kanak-kanak atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak yang layak menerima vaksin Covid-19 di Sabah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat Ahad lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka itu masih rendah berbanding jumlah keseluruhan seramai 411,400 kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun yang layak dalam kumpulan sasar di negeri ini.

“Jumlah yang mendaftar setakat ini masih rendah. Saya nasihatkan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak berusia antara lima hingga 12 tahun ke bawah supaya mengambil peluang mendaftarkan mereka untuk vaksinasi di bawah PICKids.

“Sehingga semalam, seramai 9,686 kanak-kanak atau kira-kira tujuh peratus daripada jumlah yang mendaftar telah menerima dos pertama sejak PICKids bermula di Sabah pada 3 Februari lalu,” katanya pada Majlis Pelancaran PICKids peringkat negeri di Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, di sini pada Selasa.

Hajiji berkata, program itu dilaksanakan di lima hospital di negeri ini iaitu HWKKS, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

Katanya, program itu telah diperluaskan ke seluruh negeri dengan penubuhan 145 pusat pemberian vaksin (PPV) melibatkan 109 klinik kesihatan, 22 hospital, 18 klinik swasta dan empat PPV awam yang dipantau oleh pakar dan pegawai perubatan.

“Program vaksinasi ini diteruskan untuk melindungi kanak-kanak, khususnya mereka yang berumur antara lima hingga 12 tahun dan ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan Covid- 19,” katanya.

Menurut rekod, lebih 500 kanak-kanak berusia bawah 11 tahun yang tidak divaksin antara 3,891 kes baharu Covid-19 yang dikesan di Sabah pada Ahad lalu.

Hajiji dalam pada itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion daripada vaksin Pfizer-BioNTech yang dirumus khas untuk kanak-kanak dan telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (PBKD) di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Ia telah diluluskan untuk penggunaan selamat dan mempunyai keberkesanan untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan Covid-19 yang teruk.

“Program vaksinasi kanak-kanak memerlukan dua dos vaksin untuk diberikan selepas lapan minggu.

“Berdasarkan data terkini, selama lapan minggu antara dua dos memberikan imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi dengan potensi memberikan perlindungan lebih lama,” katanya.

Tambah beliau lagi, vaksin di bawah PICKids adalah percuma untuk mereka yang tinggal di Sabah tanpa mengira status kewarganegaraan.

“Pemberian vaksin adalah secara sukarela dan ibu bapa atau penjaga perlu menandatangani surat kebenaran bertulis sebelum anak mereka layak menerima vaksin Covid-19.

“Sistem tempahan janji temu yang diwujudkan dalam aplikasi MySejahtera memberi kebebasan kepada ibu bapa dan penjaga untuk memilih tarikh serta masa yang paling sesuai dan PPV yang mereka ingin bawa anak mereka untuk menerima vaksin selain ibu bapa juga boleh membawa anak-anak untuk divaksin secara datang terus (walk-in) di PPV berhampiran,” katanya.

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan bahawa proses vaksinasi untuk murid sekolah telah bermula pada 12 Februari lalu di PPV sekolah.

“Jabatan Kesihatan Negeri telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalankan program vaksinasi outreach di sekolah di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here