MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengenal pasti seramai 69,972 individu dewasa berusia 18 tahun ke atas yang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera masih belum menerimanya.
Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu 54,000 individu gagal tampil untuk menerima suntikan meskipun telah mendapat tarikh janji temu di aplikasi Mysejahtera.
Menurutnya, antara alasan mereka tidak hadir ke PPV kerana ada antara yang telah mendaftar lebih daripada sekali di aplikasi MySejahtera selain permohonan itu didaftarkan oleh anak-anak.
“Malah, ada juga yang daftar dengan nombor telefon bimbit yang salah dan tidak dapat dihubungi, jadi kami menyeru supaya mereka yang belum menerima vaksin untuk hadir ke PPV.
“JKN juga sedang berusaha bersama MySejahtera untuk mendapatkan senarai nama mereka berpandukan maklumat yang diperoleh sebuah pasukan khas bagi menghubungi dan memujuk semua individu ini untuk hadir ke PPV terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Rahmad berkata, kerajaan negeri membenarkan individu warganegara berusia 18 tahun ke atas yang masih belum menerima janji temu untuk hadir di mana-mana PPV awam bermula Sabtu ini.
Menurutnya, kepada bukan bukan warganegara lokasi pengambilan vaksin telah ditetapkan di PPV Mega Stadium Hang Jebat dan PPV Mega Stadium Jasin bermula jam 8.30 pagi hingga jam 4 petang.
“Namun, mereka yang bercadang untuk dapatkan vaksin secara jumpa terus (walk-in) perlu mendaftar di Mysejahtera.
“Bagi yang belum mendaftar untuk vaksinasi atau tidak mempunyai telefon pintar juga dibolehkan walk-in untuk didaftarkan di PPV,” katanya.