Home Koronavirus Hampir 3 juta daftar sebagai penerima vaksin Covid-19

Hampir 3 juta daftar sebagai penerima vaksin Covid-19

0
Hampir 3 juta daftar sebagai penerima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR – Seramai 2,990,577 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat jam 8 pagi Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi infografik di Twitter rasmi beliau pagi Ahad memaklumkan, sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka pada 24 Februari lepas, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.

Ia diikuti dengan Johor 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak 240,630.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negara setakat 6 Mac.

Memperincikan pecahan jumlah penerima vaksin dos pertama tertinggi mengikut negeri, Sarawak mencatatkan 18,034 penerima diikuti Pahang (13,830), Selangor (11,982) dan Kuala Lumpur seramai 11,266.

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my, manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here