MELAKA – Gelagat beberapa jururawat yang menari di sebuah pusat kuarantin Covid-19 untuk memujuk seorang kanak-kanak dipercayai bagi memudahkan proses mengambil sampel darah mencuit hati warganet.
Menerusi video berdurasi 17 saat itu, beberapa petugas di sebuah pusat kuarantin mengajak kanak-kanak yang dikenali sebagai Firas menari sebagai usaha memujuknya supaya tidak menangis.
Situasi itu dikongsikan oleh seorang penguna akaun Twitter Jo@Ciaoticjoeadi0s sehingga mendapat tontonan sebanyak 17,300.
Gelagat berkenaan turut dikongsikan pengguna TikTok di akaun @ciklinnemo yang turut memuat naik video rakaman beberapa orang jururawat sedang menenangkan kanak-kanak berkenaan dipercayai ahli keluarga pemilik akaun berkenaan yang positif Covid-19.
Video yang mendapat tontonan lebih 66,200 juga memperlihatkan seorang petugas kesihatan menunjukkan video lagu kanak-kanak di telefon bimbitnya sambil mengajak menari.
Ramai warganet memberi maklum balas positif dan terhibur melihat gelagat petugas barisan hadapan itu dan mengucapkan terima kasih kerana begitu optimis menjalankan tugas.