SHAH ALAM – Pusat pemberian Vaksin (PPV) UCSI menafikan dakwaan pihak luar kononnya barisan hadapan melakukan kesilapan dalam menjalankan tugas selain menuduh tidak mempunyai sistem melaksanakan program imunisasi.
Menurut UCSI Group, perjalanan proses vaksinasi terganggu sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan dan kelewatan di PPV disebabkan penerima vaksin tidak mematuhi waktu yang ditetapkan di MySejahtera.
“Malah, ada juga yang cuba untuk merakam video ketika menerima suntikan vaksin sedangkan tindakan ini bukan sahaja dilarang, malah ia boleh dan telah menyebabkan petugas kesihatan yang memberi suntikan terganggu,” kata UCSI pada Selasa.
Menurut UCSI, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pusat-pusat pemberian vaksin.
Tambahnya, ia bagi memastikan tidak berlaku kesesakan selain menjamin kelancaran sepanjang proses vaksinasi berlangsung.
Mengulas lanjut, UCSI berkata, petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, polis bantuan dan sukarelawan yang bertugas telah dimaklumkan tentang proses vaksinasi serta patuh dengan segala garis panduan ditetapkan.
Jelasnya, barisan hadapan bekerja tanpa mengira penat lelah sehingga ada antara mereka yang bekerja 12 jam sehari bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar.
“Sebagai syarikat konglomerat yang bertanggungjawab, UCSI dan kakitangannya telah meletakkan keutaamaan kepada negara bagi memastikan perancangan nasional pemvaksinan semua rakyatdapat dij alankan sebaiknya.
“Pihak pengurusan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penerima-penerima vaksin yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
“Mari kita laksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kita semua selamat. Kita sedang melawan virus Covid-19, bukan satu sama lain,” ujarnya.