IPOH – Semua petugas barisan hadapan di Perak sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 bagi Program Imunisasi Covid-19 fasa pertama.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menjelaskan, Perak tidak mengalami kekurangan bekalan vaksin sebaliknya kedudukan Perak dari segi jumlah pemberian vaksin dilihat menurun berbanding negeri lain kerana jumlah petugas barisan hadapan yang berbeza.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai bilangan petugas barisan hadapan yang berbeza dan pemberian pada fasa pertama mengikut jumlah petugas tersebut.
“Ada negeri yang besar, ramai frontliners. Jadi penurunan itu disebabkan kita sudah beri vaksin itu kepada semua frontliners. Kalau bilangan frontliners kecil, kecillah jumlahnya.
“Kita kini sudah bersedia untuk melaksanakan program vaksin ini bagi fasa kedua,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 dan Majlis Jasamu DiKenang Jabatan Pertanian Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai jumlah penerima suntikan vaksin Covid-19 yang berkurangan berdasarkan laporan harian pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin Covid-19 mengikut negeri yang dikeluarkan.
Sebelum ini, Perak mencatatkan antara tiga negeri paling tinggi yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 tetapi sejak dua hari lalu menjadi negeri keempat daripada semua negeri di negara ini.
Terbaru pada 11 April 2021, Perak mencatatkan 52,679 penerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 43,394 lagi merupakan penerima suntikan dos kedua.
Dari segi jumlah pendaftaran pula, seramai 626,546 atau 32.4 peratus penduduk di negeri ini yang sudah berdaftar bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 tersebut.