Home Koronavirus Field ICU Hospital Kepala Batas beroperasi mulai Selasa

Field ICU Hospital Kepala Batas beroperasi mulai Selasa

0
Field ICU Hospital Kepala Batas beroperasi mulai Selasa

KEPALA BATAS – Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) Hospital Kepala Batas (HKB) di sini akan mula beroperasi sepenuhnya pada Selasa.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi berkata, semua kelengkapan dan kemudahan bagi keseluruhan Field ICU telah lengkap sepenuhnya.

Beliau berkata, kerja pembinaan Field ICU HKB yang bermula sejak 18 Mei lalu siap mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan ujian atau ‘dry run’ pada Isnin sebelum menerima masuk pesakit Covid-19 daripada negeri ini.

“’Dry run’ akan dijalankan terlebih dahulu pada Isnin bagi memastikan semua persiapan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mempunyai sebarang masalah termasuk dari segi isu teknikal.

“Apabila semuanya telah lengkap diuji, kita akan mula menerima pesakit untuk dirawat di sini pada Selasa ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Field ICU HKB di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Asmayani Khalib.

Mohd Zakaria berkata, Field ICU HKB menggunakan sistem hybrid iaitu kombinasi modul kontena dan khemah Utilid dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan.

Jelas beliau, Field ICU juga mampu menempatkan seramai 24 pesakit kritikal Covid-19 dalam satu masa membabitkan seramai 534 anggota ATM serta 29 staf awam.

“Pembinaan Field ICU di sini untuk kita membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas dasar keperluan yang menonjol kerana keadaan ICU HKB hampir penuh diisi.

“Dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain diharapkan Field ICU HKB ini dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi menghadapi situasi semasa Covid-19,” katanya.

Ketika ditanya adakah ATM akan membangunkan lagi Field ICU di negeri-negeri lain, Zakaria berkata, pihaknya akan melihat permohonan dan keperluan dengan mengambil kira aset yang ada untuk tujuan berkenaan.

“Kita akan cuba bantu setakat yang mampu. Namun dalam usaha ini, kita juga menyatakan keperluan diperlukan oleh agensi lain seperti tenaga kerja, doktor, paramedik serta alat-alat khusus bagi membolehkan kita memberi bantuan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here