Home Koronavirus Fasiliti hospital, PKRC di Kelantan tidak cukup tampung pesakit Covid-19

Fasiliti hospital, PKRC di Kelantan tidak cukup tampung pesakit Covid-19

Fasiliti hospital, PKRC di Kelantan tidak cukup tampung pesakit Covid-19

KOTA BHARU – Situasi pandemik Covid-19 di Kelantan semakin ‘kritikal’ apabila fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) Covid-19 di negeri Che Siti Wan Kembang tidak mencukupi bagi menampung keperluan bagi merawat pesakit berkenaan.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, susulan itu pihaknya terpaksa membina sebuah hospital medan dan beberapa buah lagi PKRC dalam masa terdekat untuk melawan pandemik berkenaan.

“Hospital medan ini kita akan buka di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bagi menampung keperluan tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini pada Isnin.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan negeri sudah membuka enam PKRC dan terbaharu di bangunan Kelantan Trade Centere (KTC).

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kemudahan itu akan kembali sesak apabila terdapat 2,000 individu positif Covid-19 yang ketika ini sedang menerima rawatan di kediaman masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, kesemua 2,000 individu itu akan diletakkan di PKRC bagi memastikan mereka mendapat rawatan sebaik mungkin dalam usaha memutuskan penularan pandemik tersebut.

Katanya, kuarantin di rumah dilihat tidak sesuai kerana ia boleh menyebabkan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

“Kita amat bimbang, pesakit tidak akan berada di dalam bilik sepanjang masa kerana adakalanya akan bergerak ke sana ke mari di dalam rumah dan dibimbangi boleh menular dalam kalangan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Dr Izani berkata, memburukkan lagi keadaan situasi Covid-19 di Kelantan tidak menunjukkan penurunan dengan penambahan antara 400 hingga 600 kes setiap hari.

“Malah kadar kebolehjangkitan (Rt) juga melebihi Rt nasional dan untuk hari ini terdapat lima kluster baharu dikesan.

“Semua jangkitan ini berpunca daripada kontak rapat dan komuniti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here