Home Koronavirus Fasa peralihan ke endemik, episod baharu pasca Covid-19

Fasa peralihan ke endemik, episod baharu pasca Covid-19

0
Fasa peralihan ke endemik, episod baharu pasca Covid-19

KUALA LUMPUR – Bermula 12 tengah malam ini, negara beralih ke fasa peralihan ke endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan.

Ini termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada 18 Mac 2020, penutupan sempadan negara, pengenalan amalan penjarakan fizikal, pelaksanaan pemakaian pelitup muka di tempat awam, serta penggunaan aplikasi MySejahtera dan lain-lain lagi.

Namun mulai 1 April esok, fasa peralihan ke endemik menyaksikan pelbagai kelonggaran diberikan semula, termasuk aktiviti solat jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Mulai esok juga, premis perniagaan dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis, apabila had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu manakala pendaftaran kemasukan menggunakan aplikasi MySejahtera juga masih diwajibkan, dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Sebanyak sembilan negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Terengganu, Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Selangor dan Melaka, mengumumkan pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April.

Kerajaan Negeri Sembilan pula menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang.

Johor membenarkan semua masjid dan surau merapatkan sejadah ketika pelaksanaan solat berjemaah tanpa bersentuhan antara jemaah mulai esok, manakala turut mengambil langkah yang sama ialah Pahang, yang membenarkan kehadiran ke masjid dan surau kepada semua sama ada divaksin atau belum.

Perlis sudah membenarkan solat jemaah berjemaah dengan merapatkan saf sejak Januari lepas, sementara Sabah mengumumkan surau dan masjid boleh melaksanakan solat berjemaah dengan kapasiti penuh tanpa sentuhan fizikal berkuatkuasa esok.

Mengenai pembukaan sempadan negara, sumber AirAsia Malaysia ketika dihubungi menyatakan penerbangan pertama yang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) esok ialah AK52 dari Bengaluru pada 6.20 pagi.

Sumber itu berkata, AirAsia akan mengadakan acara sambutan penerbangan antarabangsa bagi untuk penerbangan AK381 dari Jakarta, yang dijangka tiba pada 11.45 pagi esok.

“Sebanyak 12 penerbangan antarabangsa AirAsia dari lapan negara iaitu Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India, dijangka mendarat di klia2 esok,” katanya.

Sumber Malaysia Airports Holdings Berhad ketika dihubungi menyatakan, data mengenai penerbangan antarabangsa yang tiba dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, akan diumumkan menerusi satu kenyataan esok.

Sementara itu jurucakap rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita ketika dihubungi menerusi Whatsapp menyatakan lapan restorannya akan beroperasi secara 24 jam bermula tengah malam ini.

Lokasi lapan restoran berkenaan ialah di Taman Chai Leng di Prai dan Jalan Macalister di Pulau Pinang; Jalan Ampang dan Desa Sri Hartamas di ibu negara; Subang Jaya, Ampang Point dan Sunway di Selangor dan sebuah lagi di Ipoh.

Sementara 16 lagi rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita di seluruh negara akan beroperasi dalam pelbagai waktu termasuk dari 6 pagi hingga 2 pagi, 9 pagi hingga 6 pagi dan 3 petang hingga 6 pagi.

Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula esok dengan pembukaan sempadan negara, banyak agensi pelancongan mula mengiklankan pakej percutian.

Sebuah agensi pelancongan MyZarra Travel and Services Sdn Bhd telahpun mempromosikan percutian ke negara Eropah dan Balkan bermula bulan depan.

Namun dalam keghairahan menikmati Fasa Peralihan Ke Endemik dengan merancang percutian ke luar negara, bersahur di restoran dan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama keluarga setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian, semua pihak masih perlu beringat peperangan terhadap Covid-19 masih belum tamat.

Pesan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, orang ramai janganlah lalai dan terus mengamalkan kawalan kendiri, dalam memastikan Covid-19 terus terkawal dan tidak lagi membelenggu kehidupan masyarakat keseluruhannya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here