Home Koronavirus Fasa kedua program imunisasi diteruskan seperti dirancang: Khairy

Fasa kedua program imunisasi diteruskan seperti dirancang: Khairy

0
Fasa kedua program imunisasi diteruskan seperti dirancang: Khairy

PUTRAJAYA – Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diteruskan seperti dirancang bermula 19 April ini, walaupun negara berhadapan dengan proses penerimaan vaksin yang perlahan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya bekalan vaksin yang diperolehi ketika ini perlahan, disebabkan rantaian bekalan dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran, serta sikap tamak negara maju yang membeli vaksin dalam kuantiti yang terlalu besar, melebihi jumlah penduduk.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Isnin bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Khairy berkata sikap tamak negara maju antara sebab negara membangun menghadapi masalah bekalan vaksin ketika ini.

“(Bagaimanapun) Kami (kerajaan) akan cuba untuk mempercepatkan penghantaran,” katanya sambil menambah jadual penerimaan bekalan vaksin seterusnya akan diumumkan kepada orang ramai.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, Malaysia telah menerima 1.37 juta dos vaksin Covid-19.

“Seramai 979,794 individu telah menerima vaksin, di mana 583,903 individu telah menerima satu dos manakala 395,891 individu telah lengkap menerima dua dos,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech secara berperingkat bulan ini, iaitu 133,380 dos pada 14 April, 31,590 pada 15 April dan 12,870 pada 16 April.

Dalam perkembangan lain Khairy berkata, kerajaan telah bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin Covid-19.

“Masalah sekarang ialah bekalan (vaksin), bila bekalan dah cukup kita akan libatkan media,” katanya.

Diminta mengulas keputusan Malaysia menyalurkan 50,000 dos vaksin Covid-19 kepada Bosnia-Herzegovina, Khairy memberi jaminan bahawa ia tidak akan menjejaskan jadual pemberian imunisasi kepada rakyat negara ini.

“Keputusan ini mengambil kira bekalan sedia ada mengikut jadual Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 8 negeri, wilayah mulakan fasa kedua imunisasi: Khairy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here