Home Koronavirus Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 diawalkan 17 April

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 diawalkan 17 April

0
Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 diawalkan 17 April

PUTRAJAYA – Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diawalkan dua hari kepada 17 April ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi cuma 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita perlu giat kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program non-governmental organisation (NGO) outreach yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua melibatkan golongan berisiko tinggi antaranya warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi, katanya.

Dr Adham berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) untuk proses ‘fill and finish’ vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China di sini pada Khamis.

Dr Adham berkata, program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata, ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal telah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan Covax pula dari Korea Selatan.

“Perkara ini semua dijamin. Jadi isu kelewatan bekalan vaksin dari pembekal tidak berlaku pada Malaysia. Kita dapat laksanakan semua jadual dan penghantaran dalam waktu yang ditetapkan, tetapi kita harap penghantaran dapat dipercepatkan jika boleh,” katanya.

Dilaporkan India telah menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi vaksin AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di negara itu.

Langkah itu seperti yang dilaporkan, akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaksin Covax yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here