Home Koronavirus Fasa dua PICK Remaja di Labuan berjalan lancar

Fasa dua PICK Remaja di Labuan berjalan lancar

0
Fasa dua PICK Remaja di Labuan berjalan lancar

LABUAN – Fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja membabitkan pelajar sekolah berusia antara 13 hingga 15 tahun di Labuan berjalan lancar dan menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa sejak dimulakan dua hari lepas iaitu pada 22 September.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-9 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata, ibu bapa dan penjaga yang membawa anak masing-masing dilihat tiba seawal pukul 7 pagi di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kolej Matrikulasi Labuan dan Kompleks Darul Kifayah, di sini.

“Mereka tidak mahu terlepas peluang mendapatkan vaksin yang diyakini dapat membantu melindungi anak-anak mereka daripada penularan Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang pembukaan semula sesi persekolahan awal bulan depan,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Rithuan berkata, seramai 4,108 pelajar tingkatan satu, dua dan tiga dijadual mendapatkan vaksin di bawah program itu selama tiga hari berakhir petang ini.

Katanya, bermula esok giliran 1,455 murid tahun enam (12 tahun) pula mula menerima vaksin di dua PPV sedia ada dan mereka wajib ditemani ibu bapa serta penjaga masing-masing.

“Setakat semalam, 4,971 atau 48.74 peratus daripada 10,200 pelajar sekolah berumur 13 hingga 17 tahun di Labuan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” kata Rithuan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, bagi mencapai sasaran sebanyak mungkin populasi di Wilayah Persekutuan itu divaksinasi, golongan pelajar sekolah harus juga mendapatkan suntikan yang sama.

“Apabila pelajar sekolah menerima vaksin, risiko penularan Covid-19 di sekolah dapat dikurangkan dan kita dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yusup Mohamad berkata, guru yang memilih untuk tidak menerima vaksin dibenarkan hadir ke sekolah, tetapi dikecualikan daripada mengajar secara bersemuka di kelas.

“Mereka akan diberikan tugasan lain termasuk menumpukan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

Menurutnya hanya satu peratus daripada 1,332 guru sekolah rendah dan menengah di Labuan memilih untuk tidak menerima vaksin. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here