Home Koronavirus Empat lokaliti Tawau, Sabah antara dikenakan PKPD

Empat lokaliti Tawau, Sabah antara dikenakan PKPD

0
Empat lokaliti Tawau, Sabah antara dikenakan PKPD

SHAH ALAM – Empat lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10 antara lima kawasan di negeri itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 hingga 18 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 16 kes di Taman Milenium, Taman Wawasan (13), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12).

“PKPD di empat lokaliti seperti dinyatakan berkuat kuasa 5 Jun sehingga 18 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke lokaliti lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, turut dikenakan PKPD ialah Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah, Sarawak; Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah; Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, Pahang dan Kampung Sugud, Penampang, Sabah.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, terdapat peningkatan kes positif di Rumah Panjang Sigah anak Lak apabila sebanyak 37 kes telah direkodkan hasil daripada 87 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM.

“Sebanyak lapan kes positif dicatatkan di Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah setelah 24 ujian saringan dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti sebanyak 33.33 peratus.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah berkuat kuasa 5 Jun sehingga 18 Jun 2021,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, peningkatan kes secara mendadak dalam masa seminggu iaitu 12 kes positif juga telah dikesan hasil daripada 223 ujian disaring di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

Jelasnya, PKPD akan dikenakan bermula 5 Jun ini bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

“Manakala, di Kampung Sugud, Penampang, Sabah, sebanyak 29 ujian saringan dan 12 daripadanya disahkan positif Covid-19. KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan dan 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada 4 Jun telah dilanjutkan sehingga 18 Jun 2021.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 1,462 ujian saringan dan 239 daripadanya disahkan positif Covid-19 di Kepulauan Tumpat. KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti ini.

“Sementara itu, di mukim dalam daerah Besut, Terengganu sebanyak 3,569 ujian saringan dan 281 daripadanya disahkan positif Covid-19. Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 15 Mukim dalam daerah Besut, Terengganu bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here