KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Duopharma Biotech Bhd, Duopharma (M) Sdn Bhd (DMSB) telah diberi kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) untuk vaksin Covid-19 Sinopharm yang dibangunkan oleh China National Biotec Group Co Ltd.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Duopharma berkata, kelulusan itu didaftarkan dengan nama ‘COVILO Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated’ — dan diberikan kepada DMSB susulan permohonan bagi pendaftaran produk.
“Kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan pengumpulan data yang berterusan mengenai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin itu, serta pemantauan dan penilaian berdasarkan data-data terkini secara berkala.
“Ia bertujuan memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin itu kekal positif,” katanya.
Duopharma berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini telah membuat pengumuman berkenaan susulan mesyuarat DCA yang telah diadakan. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia lulus penggunaan kecemasan vaksin Sinopharm, Johnson & Johnson