Home Koronavirus Dua lagi kluster pendidikan di Pulau Pinang

Dua lagi kluster pendidikan di Pulau Pinang

0
Dua lagi kluster pendidikan di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM – Dua lagi kluster pendidikan direkodkan di Pulau Pinang pada Rabu menjadikan keseluruhan kluster melibatkan pelajar institusi pendidikan dijangkiti Covid-19 yang masih aktif di negeri itu sebanyak 10 ketika ini.

Exco Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, dua kluster baharu itu ialah kluster Jalan Pekan Darat membabitkan pelajar asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Jaya dan kluster Jalan Damai Bukit Mertajam melibatkan Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin.

“Kluster Jalan Damai Bukit Mertajam mencatatkan 24 kes positif virus itu pada Rabu manakala kluster Jalan Pekan Darat pula sembilan kes. Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah segera bagi membendung penularan wabak itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata. ketika ini sebanyak 15 kluster aktif dilaporkan di Pulau Pinang iaitu 10 melibatkan kluster pendidikan manakala sektor perkilangan dan tempat kerja masing-masing dua kluster serta satu kluster pusat tahanan.

Selain itu, menurutnya 433 kes baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Pulau Pinang adalah 168,583 kes.

Media sebelum ini melaporkan lapan kluster pendidikan dilaporkan di Pulau Pinang iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Solok Nelayan di Daerah Barat Daya dan empat pusat tahfiz iaitu Kluster Jalan Sungai Nipah, Permatang Binjai, Kubang Semang dan Jalan Lembah, manakala dua lagi ialah institusi kemahiran di Jalan Berapit dan Bukit Panchor serta sebuah politeknik di Jalan Sungai Burung. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here