Home Koronavirus Dua kluster varian Omicron libatkan jemaah umrah dikesan di Pahang

Dua kluster varian Omicron libatkan jemaah umrah dikesan di Pahang

0
Dua kluster varian Omicron libatkan jemaah umrah dikesan di Pahang

KUANTAN – Sebanyak dua kluster varian Omicron melibatkan jemaah umrah telah dikesan di Pahang.

Kluster terlibat ialah Kluster Jengka 25 Saudi (enam kes) melibatkan Temerloh dan Pekan serta Kluster Keratong 5 Saudi (25 kes) melibatkan Rompin.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini hanya enam kes disahkan varian Omicron namun ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sampel kontak rapat sedang dijalankan.

Menurutnya, Pahang turut mengesan dua kluster melibatkan jemaah umrah di Rompin iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi (sembilan kes) dan Kluster Keratong 2 Saudi (11 kes).

“Mereka ini juga sedang menunggu pengesahan WGS.

“Sehingga Khamis, kumulatif kes positif Covid-19 varian Omicron di negara ini sebanyak 245 kes dan sebanyak 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Dr Nor Azimi berkata, justeru, tindakan penangguhan umrah dilaksanakan buat sementara waktu bermula 8 Januari bagi membendung penularan varian Omicron.

“Namun penangguhan itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati netizen apabila ada yang sanggup mengeluarkan komen-komen sangat negatif atas penangguhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jangkitan varian Omicron dibuktikan bersifat ringan tapi kadar jangkitan adalah tiga kali ganda berbanding Delta.

“Justeru, jika tidak dibendung awal, jangkitan berisiko akan meluas dan bakal memberi beban besar kepada pihak hospital.

“Tiada siapa yang pernah jangka impak pandemik Covid-19 kepada dunia termasuk Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, semua negara sedang berusaha keras memikirkan tindakan kawalan terbaik.

“Semua mempunyai misi sama iaitu mahu keluar daripada pandemik ini dengan segera.

“Jadi bersopan lah. Kata-kata kesat yang ditujukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan satu penyelesaian kepada masalah pandemik ini. Biarkan KKM memikirkan tindakan terbaik manakala netizen perlu berusaha bersama-sama KKM,” katanya.

Menurutnya, usaha paling minimum adalah dengan mendapatkan vaksin khususnya dos penggalak kerana kajian telah membuktikan dua dos vaksin tidak mencukupi untuk memberi perlindungan daripada jangkitan Covid- 19 khususnya varian Omicron dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) adalah tindakan asas yang sangat baik dalam mengawal jangkitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here