Home Koronavirus Dua buah sekolah jadi PPV sementara

Dua buah sekolah jadi PPV sementara

Dua buah sekolah jadi PPV sementara

JERLUN – Dua buah sekolah di Jerlun dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara bagi memudahkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, usaha itu menyaksikan seramai 2,478 penduduk Ayer Hitam berjaya menerima vaksin bermula 5 hingga 9 Julai.

Menurutnya, permohonan tersebut dilakukan pada Jun lalu namun ditangguhkan pada Julai disebabkan masalah bekalan vaksin.

“Dua sekolah yang dijadikan sebagai PPV sementara adalah Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Islam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putra, Alor Biak.

“PPV ini adalah untuk memberi kemudahan kepada warga emas dan OKU untuk mendapatkan suntikan vaksin. Di SMA Nurul Islam diadakan pada 5, 8 dan 9 Julai, manakala SMK Seri Indera Putra pada 6 dan 7 Julai,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, usaha itu dilakukan oleh pihaknya memandangkan kebanyakan penduduk dari luar kawasan menghadapi masalah untuk mendaftarkan program vaksinasi Covid-19 seterusnya menyahut seruan kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok

Menurutnya, melalui bantuan Jawatankuasa pembangunan dan kemajuan kampung (JPKK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, pendaftaran vaksinasi secara manual berjaya dilaksanakan kepada penduduk kampung.

“Kumpulan sasaran program ‘outreach’ suntikan vaksin covid-19 ini adalah terdiri daripada golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, golongan orang kurang upaya(OKU) dan golongan berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai sejarah penyakit berisiko serta mempunyai surat pengesahan daripada doktor.

“Hampir 500 penduduk berjaya disuntik bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang walaupun petugas Pusat Kesihatan agak terhad,” katanya lagi.

Tambahnya, pihaknya banyak menerima permintaan daripada penduduk setempat supaya memperluaskan program tersebut namun perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak pejabat kesihatan daerah terlebih dahulu.

“Kita perlu melihat sama ada bekalan vaksin mencukupi ataupun tidak. Pihak kami tidak mempunyai apa-apa masalah dan mempunyai tenaga dan kami ada sukarelawan yang sedia membantu bila-bila masa sahaja,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here