PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu semua pihak agar kekal berada di rumah.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau berkata, perjuangan memerangi Covid-19 merupakan tanggungjawab semua.
“Ia bukan hanya perjuangan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan barisan hadapan,” katanya pada Isnin.
Menurutnya, kesedaran dan tanggungjawab sosial boleh dimulakan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) kendiri.
“Duduk di rumah dan patuhi segala prosedur operasi standard (SOP). Insya-ALLAH kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.
Situasi penularan Covid-19 terus membimbangkan apabila bilangan kes positif Covid-19 hampir mencapai 5,000 kes setiap hari sejak kebelakangan ini.
Trend itu turut menyaksikan peningkatan kes kematian yang tinggi sehingga 26 kes dilaporkan pada Ahad.
Sifat ganas varian-varian baharu yang dikenal pasti di negara ini juga menimbulkan kebimbangan apabila dilaporkan lebih gemarkan golongan muda.
Gejala yang dihadapi pesakit Covid-19 adalah lebih teruk sehingga memaksa mereka dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Varian tersebut juga dikesan kebal dengan ubat-ubatan serta rawatan yang dijalankan.