BANGI – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengatur sesi pertemuan dan libat urus Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pihak industri untuk mempercepatkan pengambilan dos penggalak dalam kalangan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr,i Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mesyuarat Majlis Pemulihan Negara pagi ini membincangkan usaha yang dapat dijalankan untuk memastikan tidak ada lagi penutupan aktiviti dalam sektor ekonomi kerana kesannya kepada ekonomi adalah besar.
“Antara langkah yang dibincangkan pagi ini ialah KKM akan mengadakan pertemuan segera dengan pihak industri untuk melihat bagaimana kita dapat mempercepatkan program vaksinasi untuk dos ketiga atau dos penggalak dalam kalangan pekerja sektor pembuatan.
“Kebanyakannya telah mendapat suntikan pertama dan kedua dalam Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang kami mulakan pada Jun tahun lepas.
“Melalui program itu, kita telah berjaya memberi suntikan kepada hampir 2 juta pekerja dalam sektor pembuatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke fasiliti pengilangan Genetec Technology Bhd di sini pada Selasa.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan memberi perhatian dan mengadakan program PIKAS kerana pekerja sektor pembuatan terdedah kepada risiko yang tinggi.
“Mereka perlu hadir dan berada di barisan pengeluaran, tidak seperti sektor lain yang mereka boleh bekerja dari rumah. Mereka adalah tulang belakang kepada ekonomi kita dan kita mengambil keputusan untuk memberikan suntikan.
“Bagi dos ketiga, kami dimaklumkan dalam mesyuarat hari ini, secara keseluruhannya kita telah mencatatkan 53 peratus penerima dos ketiga.
“Kita perlu mempercepatkan program ini dan kita boleh mulakan melalui sektor ekonomi melalui sektor pembuatan dan perkilangan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MITI menggalakkan pihak industri untuk membuat dan mengadakan ‘Regular Testing Kit’ untuk memastikan pekerja berada dalam keadaan sihat.
“Kita telah melancarkan inisiatif Safe@Work pada tahun lepas dan kita meminta pihak industri supaya mewujudkan gelembung dari tempat penginapan pekerja ke tempat kerja supaya sekiranya ada kes baharu kita boleh mengasingkan kes itu atau pekerja tersebut tanpa perlu menutup seluruh kilang.
“Ini dapat menjamin penerusan operasi kilang dan sektor pembuatan serta tidak ada gangguan pada rantaian bekalan kita.
“Apa yang kita pelajari dalam tempoh sukar ini, penting untuk memastikan aliran bebas perdagangan dan pelaburan di antara Malaysia dengan negara luar.
“Kita tidak mampu untuk ada lagi gangguan rantaian bekalan kerana Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global. Oleh itu, ini merupakan langkah-langkah yang telah kita persetujui untuk disegerakan,” katanya. – Bernama