Home Koronavirus Doktor bidas pandangan Rita Rudaini persoal keberkesanan vaksin

Doktor bidas pandangan Rita Rudaini persoal keberkesanan vaksin

0
Doktor bidas pandangan Rita Rudaini persoal keberkesanan vaksin

SHAH ALAM – Seorang doktor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membidas pandangan dilontarkan oleh pelakon, Rita Rudaini Mokhtar terhadap isu keberkesanan vaksin Covid-19 untuk memberikan perlindungan daripada jangkitan virus tersebut.

Dr Nimelesh Balanthiren menerusi ciapan di Twitter miliknya pada Jumaat berkata, meskipun vaksin terbukti mampu memberikan perlindungan kepada seseorang individu, namun risiko jangkitan tetap berlaku sekali gus menyebabkan kepada perlunya pengambilan langkah pencegahan.

“Berapa kali nak cakap vaksin itu tidak boleh mencegah jangkitan Covid-19 100 peratus tetapi ia boleh mencegah jangkitan teruk Covid-19 yang menyebabkan komplikasi. Berapa banyak dah nyawa yang sudah hilang sebab Covid-19?

“Vaksin boleh melindungi seseorang tetapi sistem imuniti badan dia pun memainkan peranan penting.

“Kalau imuniti dia rendah, dia tetap ada risiko untuk kena. Sebab tu masih ada nasihat untuk ikut prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan sebagainya,” katanya.

Menerusi satu klip video pendek yang tular di sosial media baru-baru ini, Rita mempersoalkan keberkesanan vaksin Covid-19 kerana keperluan pemakaian pelitup muka dan pematuhan SOP kepada individu yang telah melengkapkan vaksinasi.

Mengulas lanjut, Dr Nimelesh berkata, ramai pesakit Covid-19 yang tidak sempat untuk menyuntik vaksin Covid-19 mengalami komplikasi akibat virus tersebut ketika ini.

“Berbulan-bulan batuk, susah nafas, masuk keluar hospital (pesakit Covid-19). Kami (doktor) yang kerja dalam bidang kesihatan dan terdedah kepada kes-kes sebegini.

“Ingat senang ke nak ‘break the bad news’ (memaklumkan) kepada ahli keluarga yang orang kesayangan mereka meninggal dunia sebab Covid-19?

“’If you think you are an artist or influential person – use your voice properly’ (Jika anda rasa anda adalah seorang artis dan orang yang berpengaruh, tolong gunakan suara yang anda ada dengan sebaiknya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here