SABAK BERNAM – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam memutuskan tidak meneruskan cadangan penggunaan dewan komuniti di daerah Sabak Bernam sebagai pusat isolasi Covid-19 warga asing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, perkara itu telah dimaklumkan PDT Sabak Bernam kepada beliau pada Selasa.
“Keputusan pembatalan ini mengambil kira semua pandangan dan cadangan dalam sesi perbincangan bersama ADUN, ahli Parlimen dan pemimpin setempat pada Selasa,” katanya yang memuat naik status di Facebook beliau pada Rabu.
Mohd Imran berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail dan ketua jabatan kerajaan yang mengambil kira pandangan dan bantahan penduduk setempat.
“Tidak dilupakan juga kerjasama semua pihak termasuk pimpinan politik, pimpinan masyarakat setempat, NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan individu persendirian yang bersepakat dalam mencari solusi dan penyelesaian bersama dalam isu ini,” katanya.
Sementara itu, ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau juga telah dimaklumkan PDT Sabak Bernam mengenai pembatalan cadangan menempatkan warga asing positif Covid-19 di dewan komuniti.
“Terima kasih diucapkan kepada Pegawai Daerah Sabak Bernam yang mendengar segala pendapat kami.
“Benarlah bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat,” katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, dua ADUN UMNO membantah cadangan menjadikan dewan komuniti sekitar daerah Sabak Bernam di sini sebagai isolasi berpusat bagi pekerja bukan warganegara yang positif Covid-19.
Bantahan itu dikemukakan Mohd Imran dan Rizam yang hadir ke PDT Sabak Bernam menyerahkan memorandum bantahan penduduk kepada Amri pada Selasa.
Terdahulu tular di Facebook berhubung cadangan isolasi berpusat bagi pekerja bukan warganegara kluster Bagan Sungai Besar.
Penempatan sementara pekerja warga asing yang positif Covid-19 dicadangkan di empat dewan iaitu di Dewan Dato’ Muhd Fauzi, Pasir Panjang, Dewan Kampung Hala Cara Baru, Parit 16 Sungai Panjang, Dewan Sungai Air Tawar dan Dewan Seri Sekinchan.