Home Koronavirus Demi sembuhkan pesakit Covid-19

Demi sembuhkan pesakit Covid-19

Demi sembuhkan pesakit Covid-19

SHAH ALAM – Bekas pesakit Covid-19 yang pernah mengalami gejala semasa atau selepas dijangkiti (long Covid) mengharapkan ubat antiviral, Paxlovid dapat menyembuhkan sekiranya mereka dijangkiti sekali lagi.

Pegawai Eksekutif Perkeso, Muhammad Afiq Roslan berkata, ubat berbentuk pil tersebut merupakan satu inisiatif yang baik dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kes harian di Malaysia.

“Ia adalah satu inisiatif yang baik oleh pihak kerajaan bagi membantu merawat pesakit, selain daripada vaksin sedia ada dan secara tidak langsung dapat memberi harapan kepada kami yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk sembuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (Pharmaniaga) menerima 48,000 stok pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pil Paxlovid disyorkan untuk rawatan pesakit Covid-19 dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi mendapat gejala yang teruk.

Dr Noor Hisham pada 3 Mac lalu juga mengumumkan mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-37 telah meluluskan penggunaan pil tersebut secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

Sementara itu, seorang pelajar, Mohamad Syaifudin Yahaya meluahkan rasa syukur apabila kerajaan menyediakan usaha lain bagi mengurangkan dan merencatkan jangkitan Covid-19.

“Keadaan long Covid ini menyebabkan saya mudah rasa letih ketika melakukan sesuatu kerja jika dibandingkan dengan keadaan sebelum (dijangkiti).

“Dengan ada ubat ini (Paxlovid), bersyukurlah ada ikhtiar tetapi bagaimanapun, pihak kesihatan perlu kenal pasti jika wujud kesan sampingan atau kandungannya boleh menyebabkan berlaku masalah lain kepada mereka terutamanya yang berisiko tinggi,” ujarnya.

Rakyat boleh terima

Pekerja swasta, Damirah Yaafat pula berkata, ia tidak menjadi masalah kepada rakyat untuk menerima ubat itu seperti vaksin sekiranya ia dapat menyembuhkan pesakit Covid-19.

“Macam saya pernah dua kali dijangkiti Covid-19.

“Seandainya ubat itu terbukti berkesan seperti yang dinyatakan, maka tidak menjadi masalah untuk disyorkan kepada rakyat Malaysia.

“Seperti mana rakyat boleh terima vaksin sebagai satu inisiatif untuk menamatkan penularan wabak Covid-19, macam itu juga masyarakat boleh terima ubat itu sebagai salah satu langkah untuk meringankan gejala tersebut.

“Jadi tiada sebab untuk rakyat tolak ubat berkenaan andai ia benar-benar berkesan dan membantu kita semua,” jelasnya.

Penjawat awam, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir berpendapat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mempergiatkan penerangan maklumat berkenaan ubat tersebut.

“Sebagai bekas pesakit Covid-19, saya berasa amat bersyukur dengan perkembangan terbaru itu.

“Sekurang-kurangnya ia dapat memberikan rawatan bagi pesakit yang mempunyai kesan yang teruk.

“Walau bagaimanapun, ubat ini perlu dilihat dari segi kesan sampingannya sama ada menjadi lebih teruk kepada pesakit atau sebaliknya.

“Penerangan juga harus dilakukan oleh KKM bagi memastikan masyarakat faham keberkesanan dan kesan ubat ini, bagi mengelakkan fitnah dan persepsi buruk masyarakat kepada inovasi terbaru ini,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Norhafzan Ramli berkata, selain vaksin, kewujudan pil Paxlovid merupakan salah satu inisiatif yang sangat baik dalam usaha memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19.

“Sebelum ini, tiada ubat untuk pesakit Covid-19. Mereka hanya harapkan Panadol, petua-petua orang kampung dan tips kesihatan.

“Ikhtiar baharu oleh kerajaan kali ini sedikit sebanyak mengurangkan kerisauan kepada pesakit Covid-19 dan harapan untuk kembali sembuh adalah tinggi serta cepat sihat,” ujar Norhafzan lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here