Home Koronavirus Delta kini varian dominan di Sarawak

Delta kini varian dominan di Sarawak

0
Delta kini varian dominan di Sarawak

KUCHING – Varian Delta Covid-19 kini dikenal pasti sebagai varian dominan yang menjangkiti penduduk di Sarawak, demikian menurut Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah IHCM, Prof Dr David Perera berkata, setakat 17 Ogos lepas, institut itu telah melakukan penjujukan genom pada 220 kes positif dengan 179 tambahan varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) telah dikesan daripada kes itu.

“Daripada jumlah VOC/VOI ini, 178 adalah varian Delta manakala satu lagi adalah daripada satu kes dikenali VOI Indonesian yang dikesan di Bintulu baru-baru ini.

“Secara keseluruhan, kadar pengesanan varian Delta adalah 82 peratus yang diperhatikan dalam laporan ini, menunjukkan peningkatan daripada 73 peratus yang dilaporkan pada 17 Ogos,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sejak wabak Covid-19 melanda negara tahun lepas, IHCM berada di barisan hadapan melawan pandemik di negeri ini, ditugaskan dengan menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan dalam virus itu.

Dr Perera berkata, hampir semua jujukan kes di bahagian Kuching adalah varian Delta dengan kadar pengesanan 99 peratus (68 daripada 69 jujukan kes).

“Kadar pengesanan varian Delta yang tinggi turut dikesan di bahagian Samarahan iaitu 93 peratus (38 daripada 41 kes) dan di bahagian Serian dengan 95 peratus (16 daripada 17 kes).

“Peningkatan ketara pada kadar pengesanan varian Delta yang tinggi juga didapati di Bintulu dengan 84 peratus (20 daripada 24 kes), Miri pada kadar 65 peratus (9 daripada 14 kes) dan Sibu sebanyak 60 peratus (16 daripada 27 kes),” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here