Home Koronavirus Data, teknologi elemen pulihkan pascapandemik Covid-19: Tengku Zafrul

Data, teknologi elemen pulihkan pascapandemik Covid-19: Tengku Zafrul

0
Data, teknologi elemen pulihkan pascapandemik Covid-19: Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Data dan teknologi akan menjadi antara elemen penting dalam merancang pemulihan ekonomi Malaysia pascapandemik Covid-19 secara teliti, kata Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan akan memanfaatkan kelebihan data untuk membantu negara supaya menjadi lebih cekap dan responsif, didorong oleh semangat keterangkuman ke arah daya tahan lebih baik dan kemakmuran bersama.

“Rangka Tindakan Ekonomi Digital di bawah inisiatif MyDIGITAL amat penting dalam memacu sektor perniagaan untuk bersaing di arena global memandangkan ia menyediakan insfrastruktur digital dan ekosistem digital,” katanya.

“Rangka Tindakan Ekonomi Digital merangkumi pelaburan menerusi projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaburan untuk mempertingkatkan kesambungan kepada rangkaian kabel dasar laut antarabangsa sehingga 2023, serta rancangan 10 tahun bagi pelaksanaan 5G di seluruh negara dan perkhidmatan pengkomputeran awan,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan khas di Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang diadakan secara maya.

Tengku Zafrul berkata, usaha tersebut turut meliputi pengukuhan ekosistem digital, menyokong penerimagunaan digital serta privasi dan perlindungan data.

Sejajar dengan aspirasi 5G negara, ujarnya kerajaan juga sedang mempercepat pembangunan dan pertumbuhan kesambungan dan liputan 5G berkelajuan tinggi yang mampu milik dan boleh dipercayai.

“Kita akan memulakan fasa satu dengan 10 peratus liputan 5G di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada penghujung 2021.

“Fasa 1b akan merangkumi kira-kira 40 peratus liputan di bandar-bandar utama di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak pada akhir 2022, diikuti dengan kawasan lain secara berperingkat dengan 100 peratus liputan nasional pada 2024,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, gabungan langkah-langkah ini akan menggerakkan usaha jangka pendek bagi memastikan pembukaan semula ekonomi Malaysia adalah pada landasan lebih kukuh di samping menentukan negara berkedudukan baik untuk memanfaatkan sepenuhnya aliran mega masa depan pada jangka pertengahan dan panjang.

Beliau juga berharap PPN dan Belanjawan 2022 akan berperanan sebagai templat, bukan hanya berkaitan penyelesaian untuk keluar daripada pandemik ini, malah bagaimana untuk menghadapi cabaran yang lebih mendesak pada masa depan.

“Justeru, saya menggesa semua pihak, kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil untuk bersama-sama berusaha sebagai ‘Keluarga Malaysia’. Mari kita bersama-sama dan menang bersama,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here