Home Koronavirus DAP Selangor gesa kerajaan kemas kini maklumat penerima vaksinasi SelVAX

DAP Selangor gesa kerajaan kemas kini maklumat penerima vaksinasi SelVAX

0
DAP Selangor gesa kerajaan kemas kini maklumat penerima vaksinasi SelVAX

SHAH ALAM – DAP Selangor menggesa kerajaan Persekutuan mengemas kini maklumat penerima lengkap dos pelalian di bawah program Vaksin Selangor (SelVAX) di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan harian.

Ketua Sosialis Muda DAP negeri, Wong Siew Ki berkata, banyak aduan dihantar orang ramai melalui sistem meja bantuan (helpdesk) berhubung isu terbabit, namun tiada maklum balas untuk kemas kini berkenaan sehingga kini.

Beliau berpandangan, isu tersebut tidak seharusnya timbul berikutan Selgate Healthcare, pihak yang mengendalikan program SelVAX sudah menghantar semua maklumat peserta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Situasi ini amat mengecewakan apabila aplikasi yang menjadi kebergantungan utama kerajaan Persekutuan mengambil masa yang lama untuk mengemaskini maklumat penerima vaksin.

“Kita tidak akan menang dalam perlawanan dengan Covid-19 ini apabila kerajaan Persekutuan sendiri bergantung kepada kemas kini yang sangat lambat dan tidak efisyen ini.

“Dengan ketidakcekapan ini, bolehkah saya membuat andaian bahawa semua data berkenaan vaksinasi mahupun kes harian dan kes kematian adalah tidak terkini atau tidak menunjukkan situasi sebenar di Malaysia?,” soalnya dalam kenyataan pada Selasa malam.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong turut memaklumkan telah menerima aduan peserta SelVAX bahawa maklumat mereka tidak dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera walaupun sudah 14 hari menerima vaksin dos kedua sejak Ogos lalu sehingga sekarang.

“Hal ini memberi kesan kepada kehidupan seharian orang ramai kerana tidak dibenarkan memasuki premis perniagaan dan tempat awam disebabkan kegagalan menunjukkan status vaksin melalui e-sijil MySejahtera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengemaskinikan maklumat vaksinasi yang telah dihantar oleh kerajaan negeri Selangor pada kadar segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here