KUALA LUMPUR – Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) kini meningkat kepada 663,641 setakat Isnin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi akaun Twitternya pada Selasa memaklumkan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 untuk kanak-kanak (CITF-C) akan mengumumkan pelaksanaan program itu di peringkat sekolah.
“Pendaftaran dibuat oleh sekolah dan suntikan juga di sekolah dengan rakan-rakan,” katanya yang turut berkongsi info grafik mengenai pendaftaran PICKids setakat semalam menerusi catatan tersebut dengan pendaftaran tertinggi di Kuala Lumpur iaitu 70,900 kanak-kanak.
Menurut Khairy, bagi warga emas status vaksinasi akan menjadi tidak lengkap (warna putih dalam sijil digital MySejahtera) sekiranya tidak menerima dos penggalak sebelum 1 Mac.
“Sama juga kepada semua penerima Sinovac tidak kira umur. Tingkatkan perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya dalam akaun Twitternya.
Khairy berkata, sistem ujian dan isolasi Covid-19 kini sudah diautomasi secara digital dan seseorang yang mendapat keputusan positif Covid-19, perlu melapor terus di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan Arahan Pemantauan di rumah (HSO) secara digital.
“Jika tiada gejala atau gejala ringan (2A) tak perlu pergi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Kementerian Kesihatan. Pengasingan diri dan kemas kini status kesihatan menerusi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata, pengasingan diri dan HSO bertujuan mengelakkan kesesakan di CAC yang perlu melakukan saringan ke atas kes-kes yang bergejala teruk sahaja.
“Jika anda bergejala atau mempunyai simptom ringan, duduk di rumah untuk pulih. Jika gejala yang dialami semakin teruk, maka dapatkan bantuan perubatan,” kata Khairy. – Bernama