Home Koronavirus Cuti Deepavali punca Covid-19 meningkat di Kelantan

Cuti Deepavali punca Covid-19 meningkat di Kelantan

0
Cuti Deepavali punca Covid-19 meningkat di Kelantan

KOTA BHARU – Aktiviti percutian berkumpulan dan pulang ke kampung halaman pada cuti umum sempena perayaan Deepavali yang bersambung dengan cuti hujung minggu lalu menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19 di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, berdasarkan pemerhatian, beliau mendapati kes akan meningkat setiap kali musim perayaan.

“Saya perhatikan apabila selepas sahaja perayaan, angka naik.

“Kita nasihatkan satu cara, sebab semua dah dapat suntikan vaksin, yang penting jaga prosedur operasi standard (SOP), kalau kita lemah atau tidak ikut SOP akan berlaku peningkatan kes,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Perdana di sini pada Selasa.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2021 Peringkat Negeri Kelantan kepada Tokoh Aktivis Belia Kelantan, Roslan Ismail dan Tokoh Belia Harapan Sukan Kelantan, Mohd Hashim Mustapha.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Rabu (10 November) bagi mengetahui punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di negeri tersebut.

“Saya akan bermesyuarat pada esok untuk mendengar laporan-laporan terkini apakah sebenarnya punca Kelantan dapat nombor satu kes tertinggi semalam (Isnin),” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Kelantan merekodkan penularan Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 820 kes dilaporkan pada Isnin.

Peningkatan itu melebihi dua kali ganda kes berbanding hari sebelumnya iaitu 376 kes.

Sementara itu, mengulas berkenaan majlis berkenaan, katanya, pengiktirafan belia melalui APBN bertujuan memberi penghargaan kepada individu dan pertubuhan belia yang banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan belia di negara ini.

“Anugerah juga bagi meraikan kejayaan belia yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang.

“Mereka menerima trofi, sijil dan wang tunai paling tinggi RM 5,000 mengikut kategori masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here