ALOR SETAR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa hampir 30,000 penjawat awam yang belum berdaftar untuk segera mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, penjawat awam yang masih belum berdaftar diharapkan segera membuat pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi membentuk imuniti kelompok.
Adnan berpandangan ketika ini berkemungkinan ada penjawat awam yang leka dan tidak mendaftar untuk divaksinasi disebabkan faktor tertentu seperti memiliki penyakit, alahan ataupun bekerja dari rumah (BDR).
“Sehubungan itu, ketua jabatan perlu memainkan peranan dengan melakukan pemantauan terhadap penjawat awam di bawah seliaan mereka sekali gus memastikan mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Selain itu, ketua jabatan juga perlu mengambil pendekatan bertemu dengan penjawat awam terbabit untuk menyelami masalah dialami sehingga merek tidak mendaftar untuk divaksinasi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tiga unit respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Siti Norhani Mazrah Khalid.
Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan keyakinan ketua jabatan dapat membuat pemantauan terhadap kakitangan mereka agar lebih ramai menerima suntikan vaksin selepas semua agensi kerajaan dibenarkan 100 peratus kembali bekerja di pejabat masing-masing nanti.
Adnan memberitahu amat penting penjawat awam menerima vaksin memandangkan mereka adalah pelaksana dasar kerajaan yang menerima dan menjalankan dasar kerajaan serta petugas barisan hadapan yang menjadi ejen utama untuk rakyat kembali pulih membina ekonomi ketika pandemik.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana penjawat awam yang belum membuat pendaftaran boleh mengambil suntikan vaksin secara terus di pusat pemberian vaksin (PPV) di setiap daerah.
Dalam pada itu, Dr Siti Norhani berkata, sehingga kini, hampir 400 katil atau 36 peratus daripada 1,108 katil pesakit hospital digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 dengan 44 katil bagi pesakit Covid-19 yang kritikal di unit rawatan rapi (ICU) HSB.